Thursday, May 27, 2010

Perkembangan dan Perancangan 2010 - Penggal Ke 2

Assalamualaikum wr wb

Berikut ialah info perkembangan dan perancangan Ladang Tembikai 2010 - Penggal Ke 2.

1. Pada masa ini kami sedang menanam labu. Bermakna labu telah masuk usaha kali yang ke 2. Labu ini pula kami telah pecahkan kepada 3 peringkat tanaman. Kesemuanya dijangka akan selesai dalam masa lagi 2 bulan.

2. Selepas selesai tanaman labu, kami merancang untuk menanam Lada Solok. Sejenis lada yang popular dan hanya sesuai ditanam di Kelantan khusus untuk pasaran musim tengkujuh di Kelantan pada hujung tahun 2010 (Mulai pertengahan November) hingga awal tahun hadapan (Sehingga akhir Februari, 2011).

3. Tahun 2010 ialah tahun ke 2 kami di Kelantan dalam mengusahakan tanaman sayuran dan buah buahan seperti tembikai dan labu. Banyak pengalaman yang telah didapati, khususnya dari percubaan sendiri dan juga dari pengusaha lain yang berpengalaman lebih 25 tahun menanam sayur di Kelantan secara komersial (10 ke 30 ekar).

4. Pada masa ini, apa yang boleh kami simpulkan ialah mengusahakan tanaman di Kelantan memerlukan strategi yang tertentu khususnya di antara:

a) Pemilihan Jenis Tanaman
b) Pemilihan Tarikh Tanaman

Tujuan utama dari 2 perkara di atas ialah untuk mendapatkan kemungkinan paling besar "Harga Yang Baik/Tinggi".

Justeru itu berikut ialah 3 cadangan kepada kami pada masa depan:

1. Menyediakan plot khas untuk tanaman sayuran jangka pendek (kurang 3 bulan) seperti timun, ketola dan juga peria untuk menghasilkan pendapatan tunai harian tanpa putus. Usaha ini boleh bermula sejak bulan Februari (selepas musim tengkujuh).

2. Menyediakan plot khas untuk tanaman tembikai khusus untuk dikeluarkan pada musim bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri.

3. Menyediakan plot khas untuk tanaman lada solok khusus untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh (pertengahan November) sekaligus bermulanya cuti sekolah - musim kenduri kahwin.

Keluasan cadangan di atas ialah 10 hektar @ 25 ekar.

Cabaran pada masa kini:

1. Modal yang kecil.

2. Tiada jentera pembajak.

Cara menangani:

1. Memohon pinjaman dari MARA.

2. Mengusahakan secara kecil kecilan (2-5 ekar) untuk mengumpul semula modal.

Sekian.

JMK.