Tuesday, September 1, 2009

30 Hari Tanaman Tembikai Di Pasir Mas, Kelantan

Assalamualaikum wr wb

Pada 27 Ogos, 2009, genaplah keseluruhan tanaman tembikai berusia 30 hari. Dalam dunia penanaman, biasa disebut sebagai 30 HLT (Hari Lepas Tanam). Ini tidak termasuk hari anak pokok di dalam tray semaian, sekitar 7 ke 10 hari.

Kami menanam pada 22 Julai, 2009 dan selesai pada 27 Julai, 2009. Justeru itu, jangkaan hari permulaan memungut hasil ialah antara 22 September, 2009 hingga 27 September, 2009. Proses memungut hasil pula akan berlangsung kira kira 10 ke 15 hari.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan tertentu, buah buahan tembikai boleh dituai seawal pada 55 HLT. Dan menurut jangkaan kami, musim tanaman kami kali ini, memang akan menuai awal - sebelum hari raya. Lebih kurang lagi 2 minggu.

Secara ringkas, 30 hari pertama ialah proses pertumbuhan pokok. Sementara 30 hari kedua ialah proses pembesaran buah. Di antara hari 30 HLT hingga 40 HLT ialah tempoh masa untuk aktiviti mengahwin atau istilah sebenar dipanggil "pendebungaan berbantu". Penanaman yang luas, kita tidak boleh berharap dengan agen pendebungaan semulajadi semata, seperti lebah. Justeru, kita sebagai pengusaha, harus membantu proses tersebut, agar setiap buah berjaya dikahwinkan.

Tujuan putik putik buah dikahwinkan ialah untuk meninggikan peratusan buah tersebut lekat dan membesar mengikut saiz yang sepatutnya. Kegagalan berkahwin akan meninggikan peratusan buah gugur (pra-matang) dan kegagalan buah untuk membesar.

Waktu menjalankan proses berkahwin yang sesuai ialah waktu pagi hari sebelum jam 11 pagi. Pada waktu itu, bunga jantan sedang berkembang dan adanya kehadiran embun meninggikan peratusan proses pendebungaan berbantu tersebut menjadi dengan baik.

Aktiviti mengahwin ini memerlukan tenaga kerja yang ramai. Kami menggunakan khidmat "jurunikah" setempat seramai 8 orang ke 16 orang sepagi, setiap pagi, selama 10 hari.

Berikut ialah antara rakaman terkini di Ladang Tembikai, Pasir Mas. Gambar gambar lain berkaitan akan dinaikkan kemudian.


2 comments:

  1. TEMBIKAI KARANG SEKILO DEKAT RM2/ SEBIJI MAHU 4-5 KILO. JUM KITA TANAM DALAM PASU RUMAH PACAK TIANG BIAR DIA MENJALAR KAT ATAS AATAU TANAM TEPI PAGAR DIA MENJALAR KAT PAGAR TU..

    ReplyDelete
  2. TEMBIKAI KARANG SEKILO DEKAT RM2/ SEBIJI MAHU 4-5 KILO. JUM KITA TANAM DALAM PASU RUMAH PACAK TIANG BIAR DIA MENJALAR KAT ATAS AATAU TANAM TEPI PAGAR DIA MENJALAR KAT PAGAR TU..

    ReplyDelete